Jumaat, 14 Oktober 2011

SPR kesan kesilapan dalam permohonan pendaftaran pemilih


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak 71,184 daripada 200,395 permohonan pendaftaran pemilih yang dibuat oleh Penolong Pendaftar Pemilih (PPP) bagi tempoh Julai hingga September lepas kerana berlaku kesilapan dalam permohonan terbabit.

Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria, berkata kesilapan terbanyak melibatkan pendaftaran pemohon yang telah mendaftar sebagai pemilih, iaitu 36,139 permohonan.

Sebanyak 15,615 permohonan ditolak kerana alamat pemohon tidak sama dengan alamat pada Agency Link Up System (ALIS), Jabatan Pendaftaran Negara, iaitu sistem yang menolak secara automatik sebarang cubaan untuk mendaftar permohonan tidak sah.

"SPR turut menolak 2,403 permohonan kerana pemohon yang ingin didaftarkan berumur bawah 21 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kesilapan lain yang dikesan ialah pemohon yang didaftarkan telah meninggal dunia (2,209 permohonan), pemohon bukan warganegara (381 permohonan) dan selebihnya disebabkan pelbagai alasan lain.

Kamaruddin berkata SPR memandang serius kesilapan yang dilakukan PPP yang dilantik bagi membantu mendaftarkan lebih ramai pemilih. 

Sehingga Ogos lalu, 163 PPP diberi amaran kerana melakukan kesilapan manakala 94 lagi ditamatkan pelantikan kerana melakukan perkara sama secara berulang. 
SPR meminta PPP yang dilantik menjalankan tugas dengan jujur bagi memastikan permohonan yang layak sahaja dihantar ke SPR untuk diproses.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sehingga Ogos lalu, SPR melantik 10,865 PPP terdiri daripada 5,845 wakil parti politik, 3,992 wakil jabatan, 779 wakil pertubuhan dan 249 wakil universiti bagi membantu SPR menerima permohonan pendaftaran baru dan pendaftaran tukar alamat pusat mengundi. 

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Liew Chin Tong (DAP-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat hari ini. - BERNAMA 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...