Jumaat, 14 Oktober 2011

Bajet 2012 bukti kerajaan prihatin kebajikan rakyat

Image Detail

PERBUALAN panas ketika ini ialah bila Parlimen akan dibubar untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Cakap-cakap mengenai PRU13 sudah lama kedengaran dan ia semakin hebat diperdebatkan selepas pembentangan Bajet 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 7 Oktober lalu. 

Banyak pihak membuat andaian dan melontarkan pandangan bahawa Bajet 2012 yang baru dibentangkan ini adalah bajet terbaik dalam sejarah dan ini masa yang paling sesuai untuk diadakan PRU13. Malah sudah ada pihak yang mula menggelarkan bajet ini sebagai Bajet Pilihan Raya, manakala pihak yang sememangnya sentiasa membantah dan membangkang apa saja program kerajaan selama ini pula dengan mudah membuat fitnah dan tuduhan bahawa melalui bajet ini kerajaan cuba meraih sokongan rakyat dan memancing undi ataupun dalam bahasa politik dikenali sebagai rasuah pilihan raya.
Tuduhan mereka ialah berasaskan kepada pelbagai pemberian, insentif dan faedah yang dibentangkan Najib untuk rakyat melalui bajet itu. Ini kerana semua pihak baik pelajar, suri rumah, masyarakat luar bandar, nelayan, peneroka, penjawat awam mahupun pesara dilihat akan mendapat faedah melalui bajet terbabit.
Paling menarik ialah pemberian beberapa insentif kewangan dalam bentuk tunai seperti kepada suri rumah bagi meringankan beban kenaikan kos sara hidup di samping peluang pendidikan percuma kepada rakyat dan beberapa faedah lain. 

Lantas tidak hairanlah apabila ada tuduhan bahawa ia bajet pilihan raya untuk memenangi hati dan seterusnya undi daripada rakyat. Bagi kerajaan, ia bukan bajet pilihan raya tetapi pemberian atas rasa keinsafan, kesedaran dan kebertanggungjawaban kepada rakyat demi menyediakan kehidupan yang selamat dan sejahtera kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik. 

Inilah cabaran terbesar yang perlu dihadapi dan ditangani oleh Najib dan kerajaan demi membuktikan keikhlasan mereka kepada rakyat. Hal ini penting kerana sudah ada pihak yang mula mengambil kesempatan melontarkan tuduhan dan fitnah terhadap kerajaan berdasarkan inti pati bajet berkenaan. 

Dalam hal ini, kerajaan perlu membuktikan inilah contoh dan model kerajaan kebajikan yang mengotakan apa yang dijanjikan dan sentiasa merasa denyut nadi rakyat dan bukannya hanya membuat sesuatu atau menyediakan pelbagai kemudahan hanya ketika musim pilihan raya saja. 
Perlu juga dibuktikan bahawa kerajaan tidak menolong rakyat secara bermusim, sebaliknya kebajikan rakyat sentiasa diutamakan dan ditangani secara berterusan. Hal ini penting kerana rakyat mahukan kerajaan yang ikhlas membantu dan buat apa yang dijanjikan dan bukannya omong-omong kosong saja. 

Secara automatik rakyat akan sedar dan ingat segala bantuan dan pertolongan yang disediakan oleh kerajaan sepanjang masa, seterusnya kerajaan tidak perlu risau untuk memenangi hati rakyat menjelang mana-mana pilihan raya sekalipun. Ini kerana rakyat akan terus menyokong kerajaan yang ikhlas membantu. 

Dalam hal ini juga kerajaan perlu buktikan bahawa segala apa yang dibentang dalam bajet ini dapat dilaksanakan dengan segera secara adil dan telus. Hal ini penting kerana semua pihak boleh merancang dan menjanjikan pelbagai insentif dan pemberian tetapi tidak semua yang mampu dan berkeupayaan untuk merealisasikannya. 

Justeru, kerajaan perlu benar-benar memastikan agar semua insentif yang disediakan terutama yang berupa kewangan dapat disalurkan terus kepada pihak yang layak secara adil dan telus tanpa sebarang kerenah birokrasi dan penyelewengan. 

Biar rakyat merasai nikmat yang disediakan ini secara terus tanpa pembabitan orang tengah supaya rakyat memahami dengan jelas aspirasi kerajaan yang ikhlas membantu untuk meningkatkan kualiti hidup setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa. 

Ringkasnya, Najib dan kerajaan mempunyai tanggungjawab yang amat berat dan sedang berdepan dengan cabaran besar iaitu membuktikan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa Bajet 2012 bukanlah bajet pilihan raya semata-mata. Hakikatnya, sudah diakui ia adalah bajet terbaik dalam sejarah yang disediakan oleh sebuah kerajaan yang benar-benar merasa denyut nadi setiap seorang rakyat Malaysia dalam memakmurkan negara dan mensejahterkan rakyat selaras dengan tema bajet kali ini iaitu ‘Dasar Transformasi Nasional: Bajet Membela Rakyat, Mensejahtera Negara. 

Penulis ialah Ketua Bahagian Perancangan Korporat UPM 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...