Isnin, 17 Oktober 2011

Pelajar termuda kendali pesawat

pix_middle







MESKIPUN nama mereka belum terukir dalam mana-mana rekod, semangat dimiliki 15 pelajar berusia 13 tahun dari Kelab Juruterbang Muda Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, membanggakan.
Apakan tidak, mereka melakar sejarah tersendiri apabila menjadi pelajar termuda di negara ini diberi peluang mengendalikan pesawat jenis Piper Warrior milik Asia Pacific Flight Training (APFT) berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan


.Hasrat mereka ke langit biru terlaksana selepas diberi peluang merasai pengalaman mengendalikan pesawat ringan berkenaan dan walaupun hanya diberi peluang 30 saat, pengalaman mengendalikan pesawat terbabit besar maknanya.

Dibantu seorang juruterbang terlatih APFT, ‘klimaks’ pembelajaran secara teori yang diikuti hampir setahun berakhir pada 16 September lalu, apabila impian mereka direalisasikan tatkala rakyat negara ini menyambut Hari Malaysia.



Segak dengan berpakaian putih dan berseluar hitam laksana juruterbang berpengalaman, mereka diberi peluang secara bergilir-gilir untuk berada pada ketinggian 2,000 kaki daripada aras laut.Menerusi program dikenali sebagai ‘Penerbangan Ria’ yang mendapatkan kerjasama Kelab Penerbangan Kota Bharu dan APFT, semua pelajar muda terbabit diberi pendedahan sebenar dalam pengendalian pesawat ringan di udara.

Walaupun 50 pelajar saja diberi peluang menaiki pesawat terbabit, tetapi pengalaman 15 pelajar termuda menaiki pesawat tetap menjadi pembakar semangat untuk menjadi juruterbang berpengalaman satu hari nanti.

Masing-masing diberikan tempoh 15 minit untuk merasai dunia sebenar seorang juruterbang, selain menyaksikan panorama indah sekitar bandar Kota Bharu sebelum membentangkan pengalaman itu dalam bentuk maklumat yang perlu dihasilkan setiap peserta.

Yang pasti, beberapa faktor utama perlu menjadi sandaran seorang juruterbang sebelum benar-benar dapat menaikkan pesawat ke udara, antaranya faktor kesihatan, cuaca, keselamatan dan komunikasi dengan menara kawalan.

Inspirasi untuk menubuhkan Kelab Juruterbang Muda dizahirkan Penasihat Kelab Penerbangan Kota Bharu merangkap Penyelaras Kelab Juruterbang Muda Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan, Mohd Najib Badruddin.

Idea penubuhannya tercetus kerana mahu melihat golongan pelapis muda, terutama kalangan pelajar luar bandar, diberi peluang menyertai sebuah kelab berprestij dan jarang ditubuhkan di mana-mana sekolah.

Bertitik tolak daripada usahanya, kertas cadangan dikemukakan kepada JPN Kelantan sehingga Kelab Juruterbang Muda yang pertama ditubuhkan itu berjaya mengumpul 200 pelajar daripada lima sekolah di Kelantan, iaitu SMK Wakaf Bharu, SMK Salor, SMK Datuk Ahmad Maher, SMK Sultan Ismail Petra dan Maktab Sultan Ismail.

Pada awalnya, penubuhan kelab itu dipelopori Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Tumpat yang memulakan pengambilan ahli daripada kalangan pelajar SMK Wakaf Bharu membabitkan 20 pelajar sebelum mendapat sambutan pelajar sekolah lain.

Mohd Najib berkata, tanpa mengenakan bayaran, ihsan untuk menaja pelajar yang menyertai kelab terbabit diberikan Kelab Penerbangan Kota Bharu sebulan sekali bagi memberi pendedahan mengenai asas penerbangan.

“Menerusi Sekolah Projek Perintis Juruterbang Muda Peringkat Negara, pelajar diharap dapat mencapai impian sebagai juruterbang berpengalaman dalam jangka panjang dan peluang diberikan atas ihsan kelab dan APFT.

“Dengan memiliki peranti simulasi pesawat ringan tercanggih di Asia, APFT memberi peluang kepada Kelab Penerbangan Kota Bharu merasai pengalaman mengendalikan pesawat simulasi, sekali gus merasai pengalaman memandu di udara,” katanya.

Menurut Mohd Najib, selepas hampir setahun mempelajari teori dan asas menjadi juruterbang, mendalami sejarah kapal terbang, mengendalikan simulasi pesawat ringan, kemuncak kepada sesi pembelajaran terbabit berakhir apabila pelajar diberi peluang menaiki pesawat.

“Pengalaman pertama kali mengendalikan pesawat di udara, meskipun dalam tempoh singkat, tetapi ia besar maknanya kepada mereka kerana jarang-jarang peluang seperti itu diberikan kepada pelajar,” katanya.

Turut menjadi mentor dalam projek perintis terbabit, Timbalan Presiden Kelab Penerbangan Kota Bharu, Saiful Akram Khan Saifullah Khan dan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), SMK Wakaf Bharu, Lokman Mohamed.

Pengerusi Kelab Juruterbang Muda SMK Wakaf Bharu, Mohd Ariffuddin Mohd Ghazali, 13, berkata minat mendalam mengenai dunia penerbangan menyebabkan dia berminat menyertai kelab terbabit.

“Saya berbangga kerana menjadi antara 15 pelajar sekolah yang terpilih menyertai kelab terbabit, lebih-lebih lagi antara kumpulan pelajar paling termuda menyertainya. Diberi kepercayaan untuk menjadi pengerusi kelab sekolah cukup membanggakan saya.

“Bermula daripada minat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai tugasan seorang juruterbang menyebabkan saya menyertainya dan diberikan secara percuma,” katanya.

Menurut Mohd Ariffuddin, setiap kali sesi pembelajaran bermula, dia bersama rakan kelab di sekolahnya dibawa ke Kelab Penerbangan Kota Bharu di Pengkalan Chepa bagi menjalani latihan simulasi, sekali gus mengetahui bidang kejuruteraan pesawat.

“Sekurang-kurangnya enam jam diperlukan untuk mendalami ilmu membabitkan pesawat ringan dan dua jurulatih daripada kelab berkenaan memberi penerangan secukupnya. Saya berharap ilmu dipelajari dapat dijadikan kerjaya masa depan satu hari nanti.

“Saya bukan saja dapat melihat pesawat dengan lebih dekat dan mempelajari lebih terperinci mengenai enjin pesawat, tetapi juga sejarah kapal terbang dengan bimbingan pensyarah dan penuntut APFT,” katanya.

Berkongsi pengalaman menyertai kelab itu, pelajar tingkatan satu SMK Wakaf Bharu, Zam Aqram Rashid Khan, 13, berkata hasil dorongan dan galakan diberikan guru sekolahnya menjadi faktor dia menyertai kelab itu.

“Minat menyertai kelab penerbangan tercetus selepas diberi galakan guru di sekolah dan dari situ saya menghadiri kelas simulasi yang diadakan sekurang-kurangnya sebulan sekali, selain mempelajari asas dan teori untuk menjadi juruterbang.

“Peranti simulasi pesawat ringan banyak memberi pendedahan kepada kami sebelum berpeluang menaiki pesawat dan berpeluang mengendalikannya selama 30 saat,” katanya.

Biarpun ibu bapanya mempunyai latar belakang kerjaya berbeza iaitu ayahnya peguam dan ibunya peniaga, Zam Aqram yang juga anak bongsu daripada tiga beradik mahu menjadikan bidang berkenaan sebagai kerjaya masa depan.

“Setiap orang mempunyai cita-cita dan apabila didedahkan dengan dunia penerbangan, saya berharap untuk menjadi juruterbang satu hari nanti. Sudah pasti fokus utama saya adalah untuk mendapat keputusan cemerlang.

“Selepas itu, baru memikirkan mengenai kerjaya. Setiap juruterbang perlu ada semangat kuat dan cekal dalam berdepan pelbagai situasi,” katanya.

Rakannya, Mohd Aminuddin Rifin, 13, pula berkata, dia teruja mengendalikan pesawat, apatah lagi peluang seperti itu jarang diberikan kepada pelajar seusianya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...